PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pengisian program Rakan Muda dijadikan agenda nasional, dengan mengambil pendekatan menyeluruh bagi memastikan waktu lapang golongan belia diisi dengan aktiviti bermanfaat.

Beliau berkata program anjuran Rakan Muda perlu turut menjadi platform kepada pengukuhan intergrasi nasional dan perpaduan kaum.

Ahmad Zahid berkata beliau menekankan perkara itu, susulan penurunan skor Indeks Belia Malaysia daripada 48.49 peratus pada 2021 kepada 42.43 peratus pada 2022.

“Penurunan skor ini menunjukkan bahawa belia kurang terlibat dengan aktiviti semasa waktu lapang. Jika perkara ini tidak diatasi, dikhuatiri belia melakukan perkara tidak berfaedah dan menjadi punca kepada kebejatan sosial,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia Bil 1/2024 di Parlimen, hari ini.

Bagi pelaksanaan program Rakan Muda 2023, Ahmad Zahid berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mencapai penyertaan melebihi sasaran awal satu juta, dengan penyertaan seramai 1.11 juta peserta melalui 4,132 aktiviti.

Beliau berkata penyelarasan yang lebih baik antara kementerian dan agensi diperlukan, bagi memastikan semua data program serta penyertaan program Rakan Muda dapat disatukan, untuk mencapai sasaran penyertaan secara fizikal dan digital sebanyak 11 juta tahun ini.

Ahmad Zahid berkata beliau turut mengambil maklum mengenai pelbagai isu yang dihadapi golongan belia dan memerlukan intervensi serta pelan pemerkasaan yang holistik, melibatkan sektor ekonomi serta sosial yang berpacukan data belia.

Beliau berkata antara isu yang dihadapi golongan belia ialah peluang pekerjaan, penyalahgunaan dadah, pornografi, buli siber, kesihatan mental, kewangan, kenegaraan dan demokrasi.

Berkongsi antara perkara yang diputuskan dalam mesyuarat itu, Ahmad Zahid berkata Majlis Belia Malaysia (MBM) perlu mengambil langkah progresif, untuk menjayakan penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Pindaan) 2019 (Akta A1602) pada 1 Jan 2026, terutamanya memastikan berlaku peralihan transisi kepimpinan pertubuhan belia.

Beliau berkata mesyuarat turut mengenal pasti intervensi strategik, bagi menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh golongan belia melalui pembangunan Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia, yang akan dilancarkan pada Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan 2024 yang dijadualkan disambut pada Mei ini di Melaka.

Bagi menyokong ekonomi Gig pula, Ahmad Zahid berkata Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) telah memperluaskan skop melalui penambahan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Gig, bagi lapan bidang kursus termasuk penawaran kursus kemahiran berorientasikan elemen sukan.

Beliau berkata kursus berkenaan menyasarkan penyertaan 2,100 pelajar TVET ILKBS dan 3,300 pekerja Gig. - Bernama