JOHOR BAHRU: Pengusaha stesen minyak di negeri ini diminta bersiap siaga untuk menerima lebih banyak kenderaan di premis mereka sepanjang perayaan Aidilfitri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Han berkata pengusaha perlu membuat persediaan awal bagi memastikan bekalan minyak mencukupi bagi kegunaan semua kenderaan.

“Memang musim raya ini ramai pengunjung dari Singapura akan berkunjung ke sini dan kita menerima laporan Jumaat lepas hampir 500,000 pengunjung dari Singapura hadir.

“...untuk petrol ini, ia satu keputusan komersial pengusaha stesen minyak (untuk tambah bekalan petrol) tapi kita menggalakkan mereka buat persediaan awal dan ia bergantung kepada mereka sendiri sama ada perlu atau tidak untuk buat permohonan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas program Walkabout Jelajah Bazar Ramadan Rahmah di Bazar Perling Mall di sini semalam.

Mengulas mengenai kebarangkalian berlaku ketirisan pembelian petrol RON95 oleh kenderaan berpendaftaran asing termasuk dari Singapura, beliau berkata semua pihak termasuk masyarakat perlu memainkan tanggungjawab untuk melaporkan secara formal kepada pihak berkuasa berkaitan agar tindakan dapat diambil.

“Seramai 200 pegawai dan anggota penguat kuasa akan memantau di semua stesen minyak bagi mengelak ketirisan pengisian petrol oleh warga asing.

“Namun sekiranya ada aduan, kita mintak rakyat dapat ambil gambar dan salurkan kepada saluran formal agar tindakan dapat diambil dan bukan sekadar menularkan perkara tersebut,” katanya.