KANGAR: Seorang penjawat awam direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta rasuah secara bulanan daripada kontraktor antara Oktober 2022 hingga Ogos tahun lepas.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), perintah reman terhadap lelaki berumur 55 tahun yang merupakan Penyelia Kompleks Kolam Renang Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar Ahmad Hamdi Mustafar.

Sumber memaklumkan bahawa pihak SPRM Perlis telah membuat serbuan di pejabat lelaki terbabit di Alor Setar, Kedah pagi semalam dan seterusnya dibawa ke Pejabat SPRM Perlis bagi tujuan soal siasat.

“Lelaki itu kemudian ditahan lebih kurang pukul 3 petang semalam di Pejabat SPRM Perlis, sebelum direman hari ini,” menurut sumber itu.

Penjawat awam itu dipercayai meminta rasuah secara bulanan daripada kontraktor sebagai balasan untuk memperakukan siap kerja bagi kerja-kerja penyelenggaraan kolam renang di kompleks berkenaan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani mengesahkan tangkapan berkenaan. - Bernama