KUALA LUMPUR: Seorang penjual kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu warga emas berhubung urusan pembelian kereta mewah jenis Mustang dan Mercedes E250 Coupe, tiga tahun lepas.

G.K.Jaya Sharma, 47, didakwa menipu dengan memperdayakan peniaga makanan Mohd Robiei Wong Abdullah, 72, untuk mempercayai tertuduh boleh menawarkan dua kereta itu sehingga mendorong mangsa membuat pembayaran sebanyak RM122,000 kepada tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Sungai Penchala 12, Kampung Sungai Penchala di sini pada 11 Mac 2021 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin manakala peguam B.Sarathbala yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum antara RM2,000 hingga RM3,000 dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 April untuk sebutan kes.

Di mahkamah sama, pemandu e-hailing Muhammad Hafiz Jamil, 39, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menawarkan pelaburan saham tidak wujud yang bertentangan dengan Seksyen 420 Kanun Keseksaan di sebuah premis di Solaris Mont Kiara 2, Jalan Solaris di sini pada 26 Dis 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 120B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 April ini untuk sebutan kes. - Bernama