PAPAR: Komitmen kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan segera RM80 juta bagi mewujudkan Pusat Jantung Negara di Sabah ialah bukti keprihatinan dalam memastikan kebajikan rakyat terpelihara sekali gus memperkasa kemudahan kesihatan di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu semalam, Hajiji berkata pihaknya melahirkan penghargaan dan berterima kasih kerana kerajaan Persekutuan kerana amat memahami keperluan Sabah dan kepentingan rakyatnya.

“Dengan pengumuman ini, kita (kerajaan Sabah) amat senang hati kerana ini akan memudahkan pesakit jantung di Sabah, tidak lagi perlu dihantar ke Kuala Lumpur tetapi (rawatan) hanya boleh dilakukan di Kota Kinabalu.

“Inilah yang kita mahukan kerana aspek kesihatan cukup penting. Bukan sahaja kesihatan, tetapi juga pendidikan dan sebagainya. Kerajaan Persekutuan amat memahami dan ini amat kita hargai,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Papar dan Dewan Undangan Negeri Kawang di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Semalam, Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Kebangsaan berkata Pusat Jantung Negara di Sabah itu bakal menjadi pusat rawatan jantung kedua terbesar negara selepas Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur.

Penubuhan pusat itu berikutan kapasiti perkhidmatan kardiologi di Sabah yang terbatas sehingga menyebabkan ramai terpaksa mendapatkan rawatan di luar khususnya di Kuala Lumpur.