GEORGE TOWN: Seorang penunggang motosikal maut, manakala tiga lagi cedera setelah sebuah pokok tumbang dan menghempap dua buah kereta dan tiga motosikal di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada kira-kira 1.30 pagi tadi.

“Mohd Farid Amirol Shah,18, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala tiga lagi mangsa mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Seramai 10 mangsa terlibat dalam kemalangan itu namun enam daripadanya tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa dan tiga yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP),“ katanya.

Soffian berkata mayat mangsa yang berasal dari Kampung Genting Balik Pulau, dekat sini dihantar ke HPP untuk dibedah siasat.

Katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh tampil memberi maklumat kepada Pegawai Penyiasat Insp Mohd Shahrul Hanaffi di talian 016-6658704.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak A’azelan Hassan berkata seramai 18 pegawai dan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian dan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya sebaik pihak bomba tiba di tempat kejadian mendapati sebatang pokok tumbang telah menghempap beberapa kenderaan yang melalui jalan itu.

“Pihak bomba bersama-sama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan kejadian bagi melancarkan lalu lintas,“ katanya. -BERNAMA