KUALA LUMPUR: Penyanyi irama pop yeh yeh Datuk A Halim meninggal dunia di Hospital Penawar, Pasir Gudang, Johor hari ini.

Berita pemergian A Halim atau nama sebenarnya Abdul Halim Mohammad Diah, 76, disahkan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Rozaidi Abdul Jamil yang lebih dikenali sebagai Zed Zaidi.

“Saya mewakili Seniman mengucapkan salam takziah pada seluruh keluarga Allahyarham A Halim yang telah pergi meninggalkan kita. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

“Terima kasih atas jasa beliau yang pernah menghiburkan seluruh peminat seni muzik suatu ketika dahulu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Setiausaha Agung Seniman Hafiz Nafiah menerusi hantaran di Facebook memaklumkan permata industri hiburan tanah air sekitar tahun 60-an itu telah kembali ke Rahmatullah pada 10.30 pagi tadi akibat strok yang dialami sekian lama.

Menurutnya sepanjang pembabitan dalam dunia seni, A Halim turut bernyanyi bersama beberapa kumpulan kugiran antaranya De’ Fictions, The Wanderers dan The Wisma.

Allahyarham turut merakam beberapa buah album antaranya Album Hitam Manis, Ep Gadis Buta dan Salam Mesra Dari A Halim.

Antara lagu dendangan Allahyarham ialah Doa Dan Harapan, Dendang Terakhir, Kawan Lama, Kan Hilang Nanti, Kisah Dan Tauladan, Ku Tetap Kasih, Cenderawasih serta Budi Pekerti.