SEREMBAN: Penyelia dan pembantu sebuah pusat pemulihan dadah swasta mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pelatih lelaki di pusat itu, minggu lepas.

M. Jason Jai Ganesh, 48, dan Kelvin Raymond, 26, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya secara bersama didakwa sengaja menyebabkan cedera parah kepada mangsa berusia 38 tahun menggunakan paip polyvinyl chloride (PVC) di pejabat pengurusan pusat pemulihan di Lenggeng, Nilai dekat sini kira-kira 11 pagi, 19 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan penjara 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan dan kedua-dua tertuduh diwakili Patrick Samuel Sebastian.

Patrick dalam rayuannya memohon kebenaran supaya anak guamnya mendapatkan pemeriksaan psiakitri berikutan kecederaan dilakukan mereka terhadap mangsa adalah kejam dan meminta mahkamah mengeluarkan perintah sekatan bersuara (gag order) bagi menghalang media melaporkan kes itu.

Noor Syafina bagaimanapun berkata masalah psikiatri kedua-dua tertuduh tidak pernah dibangkitkan semasa siasatan sebelum ini.

Meor Sulaiman kemudiannya menolak permohonan Patrick dan tiada ikat jamin ditawarkan terhadap kedua-dua tertuduh selain menetapkan 30 April ini bagi serahan laporan perubatan dan hukuman.