KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap agar pertubuhan Islam di Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam memacu usaha mencerdaskan umat dan memupuk perpaduan dalam konteks masyarakat majmuk.

Beliau menyuarakan harapan itu ketika menerima kunjungan hormat daripada pimpinan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) yang diketuai presidennya Datuk Ahmad Azam Abdul Rahman semalam.

Menerusi catatan di laman Facebook hari ini, beliau berkata mauduk pertemuan itu berkisar kepada cabaran gerakan dakwah, pemikiran Islam dan peranan badan bukan kerajaan dalam isu umat Islam peringkat antarabangsa.

Sementara itu dalam catatan berasingan Anwar menyampaikan sumbangan kepada waris Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) Allahyarham Fuad Yaacob yang meninggal dunia pada 23 Mac lepas.

Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik beliau Ahmad Farhan Fauzi kepada isteri Allahyarham, Che Gayah ketika sesi ziarah semalam.

“Saya mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan arwah dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” kata Anwar dalam catatan itu.

Semasa hayatnya Allahyarham merupakan seorang yang aktif dalam memperjuangkan hak pesawah, menyuarakan setiap permasalahan yang dihadapi mereka dengan lantang dan tegas.

Sementara itu dalam hantaran berasingan di Facebook hari ini, Perdana Menteri turut memaklumkan telah berkesempatan menghulurkan sumbangan kepada aktivis awal reformasi Pospan Linggam, yang kini uzur.

Sumbangan bagi membantu meringankan beban Pospan atau lebih dikenali sebagai Puspa itu disampaikan menerusi Setiausaha Politik beliau, Ahmad Farhan.

“Saya amat berharap ia memberi sedikit kelegaan kepada saudara Puspa dalam menempuh hari mendatang,“ kata Anwar.

Puspa merupakan antara individu yang terlibat secara aktif dalam gerakan massa sewaktu gelombang reformasi meledak lewat 1990-an, selain pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam bagi penggal 2010/2011.