KOTA BHARU: Sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program Kampung Angkat MADANI di bawah kelolaan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di Kampung Aril, Melor, di sini.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata menerusi peruntukan ini, sejumlah projek telah dimuktamadkan untuk dilaksanakan meliputi skop penyelenggaraan infrastruktur, pembangunan sosial dan kelestarian alam sekitar yang dijangka siap sebelum penghujung tahun 2024.

Beliau berkata antara projek yang dikenal pasti adalah Program Rumah Ibadat Hijau yang bertujuan untuk menjadikan rumah ibadat sebagai pusat pemangkin kelestarian alam bagi memupuk budaya gaya hidup hijau dalam kalangan ahli kariah dan komuniti setempat.

Menurutnya, keprihatinan kerajaan terhadap komuniti adalah aspek penting dalam sesebuah negara untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan bersama.

“Dalam hal ini, kementerian saya amat gembira kerana berpeluang untuk terlibat sama dalam pelaksanaan program ini dan Kampung Aril dipilih kerana memiliki tarikan pelancongan tersendi yang berasaskan alam semula jadi dan seni warisan yang unik,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perasmian Kampung Angkat MADANI NRES di Kampung Aril, Melor, di sini, hari ini.

Nik Nazmi berkata Program Kampung Angkat MADANI telah mula diperkenalkan pada sesi Belanjawan 2024 dengan peruntukan RM100 juta bagi pelaksanaan program melibarkan kampung-kampung yang terpilih di seluruh negara.

“Objektif utama pelaksanaan program ini adalah untuk merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dan bandar dengan memberi tumpuan kepada aspek melengkapkan kemudahan asas di kawasan desa yang terpinggir,” katanya.

Beliau berkata program ini juga bertujuan bagi menentukan penanda aras terbaik dalam memastikan capaian liputan kemudahan asas seperti air, elektrik, jalan, lampu jalan dan kemudahan masyarakat dapat dipertingkatkan melalui pendekatan menyeluruh kerajaan.

“Kementerian yakin pelaksanaan Kampung Angkat MADANI in akan membawa harapan baharu kepada penduduk setempat untuk membangunkan kawasan yang didiami ke arah yang lebih baik,” katanya.