KUALA LUMPUR: Seorang perwakilan Umno mahukan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan pada pemilihan yang bakal berlangsung Mei ini bagi mengelak perpecahan dalam parti.

Perwakilan Kelantan Datuk Zawawi Othman menyingkap kembali bibit perpecahan yang berlaku kepada Umno pada 1987 semasa Presiden Umno ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

“Apa yang berlaku? Umno tewas pada PRU (pilihan raya umum) 1990 di Kelantan, dan sampai hari ini Kelantan diperintah oleh PAS, itulah hasil perpecahan pada tahun 1987,” katanya ketika membahaskan ucapan presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2022 d sini hari ini,

Semalam Ketua Penerangan Umno Isham Jalil mengesahkan terdapat usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan yang dijangka dilaksanakan sebelum 19 Mei ini.

Isham berkata usul itu dibawa oleh perwakilan dari Negeri Sembilan dan disokong oleh perwakilan Terengganu, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Wanita.

Sementara itu dua perwakilan melontarkan pandangan berbeza, mahukan supaya dua jawatan tertinggi itu dipertandingkan.

Jurucakap Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique yang menolak usul itu berkata sekiranya kedua-dua jawatan utama parti itu tidak dipertandingkan, ia akan mengundang persepsi negatif daripada pengundi di luar parti.

“Isu ini jika tidak diberikan perhatian yang serius mungkin memberi kesan bukan sahaja kepada parti, malah kepada 60 peratus pengundi Melayu di luar sana yang sedang memerhati gelagat kita.

“Sekiranya jawatan ini tidak dipertandingkan, saya bimbang pengundi di luar parti akan menilai parti kita dari perspektif yang negatif,“ kata beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di sini hari ini.

Beliau berkata Umno pada dasarnya adalah sebuah parti politik yang bersifat rasional dan terbuka.

Justeru, menurutnya sesiapa sahaja yang dipilih sebagai presiden dan timbalan presiden ketika pemilihan nanti akhirnya akan tetap mendapat sokongan jitu daripada ahli parti.

“Kami cuma mengharapkan agar pimpinan di atas juga mempunyai iltizam dan niat yang sama untuk memartabatkan semula parti. Umno Wilayah mohon menyokong, kecuali usul tambahan, (iaitu) usul nombor lapan yang dibuat secara mengejut semalam, iaitu usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan,“ katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Umno Bahagian Iskandar Puteri Datuk Pandak Ahmad pula mempersoalkan mengapa hanya jawatan presiden dan timbalan presiden yang tidak dipertandingkan sekiranya parti itu mahukan perpaduan dan kestabilan.

Beliau berkata jawatan-jawatan parti di peringkat bahagian dan cawangan juga sepatutnya tidak dipertandingkan jika mahu menjaga perpaduan serta kestabilan dalam Umno.

“Bawalah usul tambahan untuk tidak mempertandingkan jawatan-jawatan parti di bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan. Tak perlu kelulusan dan persetujuan majlis kerja tertinggi dan due process yang sepatutnya,” katanya ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden Umno.

Pandak berkata merujuk Fasal 30, Buku Perlembagaan Umno dan Perkara 10, Peraturan Persidangan, beliau mendapati usul yang dibawa berkenaan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak sempurna serta tidak boleh diteruskan dalam Perhimpunan Agung Umno kali ini. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image