KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara yang menjuarai Kumpulan C di peringkat kumpulan Piala Sudirman 2023, diundi bertemu Denmark, Naib Juara Kumpulan A pada aksi suku akhir kejohanan itu yang dijadualkan berlangsung pada pukul 5 petang hari ini waktu Malaysia.

Majlis undian itu berlangsung di Suzhou, China semalam.

Perlawanan suku akhir itu nanti juga akan menyaksikan Korea Selatan berhadapan Taiwan, China menentang Indonesia dan Thailand bertemu Jepun.

Jika Malaysia melepasi peringkat suku akhir, skuad negara akan bertemu sama ada Korea Selatan atau Taiwan di separuh akhir.

Pada peringkat kumpulan, Malaysia menjuarai Kumpulan C selepas menang tiga perlawanan mengalahkan Australia 5-0, India 5-0 dan Taiwan 4-1.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam saingan Piala Sudirman adalah mara sehingga separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China dan 2021 di Vantaa, Finland. - Bernama