PUTRAJAYA: Rang Undang-undang (RUU) Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 dijangka dibentangkan untuk kelulusan Dewan Negara pada April ini, susulan Dewan Rakyat telah meluluskan RUU berkenaan semalam.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan melalui RUU itu, Agenda Pemerkasaan Mahasiswa dapat dijayakan seterusnya melakar sejarah apabila Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sekali lagi dipinda untuk mengangkat martabat mahasiswa dan pelajar universiti awam.

Pindaan itu ialah hasil daripada beberapa siri libat urus yang dilaksana KPT dengan kepimpinan pelajar Universiti Awam (UA) sejak 2021 sehingga kini, menurut KPT dalam kenyataan hari ini.

KPT menjelaskan ia merupakan antara langkah progresif yang dilaksanakan kerajaan untuk membugar budaya berorganisasi dan menyegarkan gerakan pelajar sesuai dengan keupayaan mereka mengurus kedewasaan dan kematangan diri.

RUU bertujuan menambah baik tadbir urus sehingga pengurusan aktiviti dan tatatertib pelajar, dengan melibatkan pindaan enam perkara dalam akta itu, diluluskan setelah bacaan kedua dan ketiga oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Dewan Rakyat semalam.

Secara keseluruhan, RUU itu mengandungi lima fasal yang melibatkan enam peruntukan antaranya Seksyen 15A iaitu memberi kebenaran kepada Majlis Perwakilan Pelajar dan Badan Pelajar untuk memungut wang atau menerima sumbangan lain.

Peruntukan lain antaranya termasuklah Seksyen 16B iaitu pertukaran Pihak Berkuasa Tatatertib Pelajar Universiti, Seksyen 48(4) Jadual Pertama iaitu tempoh lantikan Majlis Perwakilan Pelajar berdasarkan kalendar akademik dan Seksyen 48(11) Jadual Pertama iaitu Majlis Perwakilan Pelajar dibenarkan untuk menyenggara kumpulan wang (akaun).

Turut dipinda melibatkan Seksyen 48(12A) Jadual Pertama iaitu kuasa kepada Lembaga untuk membuat peraturan berkaitan pemungutan wang di Seksyen 15A, serta Seksyen 49(2) Jadual Pertama iaitu pemakaian peruntukan-peruntukan Seksyen 48 Majlis Perwakilan Pelajar kepada Badan Pelajar lain. - Bernama