BERLIN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bertemu dengan Presiden Frank-Walter Steinmeier bagi membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jerman.

Anwar, yang tiba di sini pada Ahad untuk lawatan rasmi enam hari beliau ke Jerman, telah disambut oleh Steinmeier di Istana Bellevue yang menempatkan Pejabat Presiden, pada kira-kira 2 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).

Perdana Menteri turut menandatangani buku tetamu sebelum memulakan mesyuarat dengan presiden itu.

Ini merupakan pertemuan kedua Anwar dan Steinmeier dalam tempoh setahun selepas Presiden Jerman itu mengadakan Lawatan Negara selama tiga hari ke Malaysia pada bulan Februari tahun lepas.

Anwar sebelum ini berkata selepas pertemuan kedua-dua pemimpin di Putrajaya, Malaysia berharap untuk menjalin kerjasama dengan Jerman dalam bidang biodiversiti, ekologi dan perubahan iklim.

Steinmeier, yang ketika itu turut berkunjung ke Pulau Pinang dan Sarawak, pula berkata Malaysia akan menjadi lokasi penting bagi syarikat-syarikat Jerman untuk mempelbagaikan perniagaan dan pelaburan mereka.

Beliau berkata terdapat lebih 700 syarikat Jerman berpangkalan di Malaysia yang mewujudkan sejumlah 65,000 peluang pekerjaan dan terdapat peluang untuk mereka mempelbagai serta menyalurkan bekalan kepada pasaran mereka di rantau ini.

Ekonomi ketiga terbesar di dunia itu adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah sejak tahun 2000 manakala Malaysia pula merupakan rakan perdagangan terbesar bagi Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Pada 2023, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (US$13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (US$13.62 bilion) pada 2022.-Bernama