QUITO: Polis Ecuador berjaya merampas sejumlah 3.5 tan kokain dalam satu operasi di pelabuhan Guayaquil, lapor Xinhua, memetik polis Ecuador pada Jumaat.

Dadah itu dibungkus dalam 88 beg pakaian dan disembunyikan dalam kontena pisang untuk penghantaran ke Belgium, kata komander polis Ecuador Jeneral Victor Zarate.

Beliau berkata rampasan itu “tamparan hebat” kepada pengedar dadah dan wakil sah syarikat kontena yang mengeksport pisang itu turut ditahan.

Pada 2021, mengikut rekod tahunan, polis Ecuador merampas 210 tan dadah, kebanyakannya kokain. Setakat ini pada 2022, polis berjaya merampas 144 tan dadah di Ecuador.

Presiden Ecuador Guillermo Lasso mengisytiharkan akan membanteras sindiket pengedaran dadah di negara itu dan menyalahkan sindiket berkenaan sebagai punca peningkatan jenayah serta keganasan.

Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Rabu, Lasso menggesa sokongan antarabangsa untuk memerangi pengedaran dadah dan “jenayah rentas sempadan memerlukan penyelesaian merentasi sempadan.” - Bernama