ALOR SETAR: Polis Kedah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu dengan penahanan sembilan lelaki dalam tiga operasi berasingan di Kuala Nerang pada Khamis dan Sabtu lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata dadah jenis syabu seberat lebih 20 kilogram (kg) dan 130kg daun ketum yang dianggarkan bernilai lebih RM730,000 berjaya dirampas dalam ketiga-tiga operasi itu.

Beliau berkata dalam kes pertama kira-kira pukul 10.30 malam polis menahan seorang lelaki berumur 52 tahun di hadapan sebuah rumah di Kampung Lamdin, Naka dan merampas sebuah beg galas mengandungi beberapa bungkusan plastik berisi dadah syabu seberat lebih 18kg.

“Polis kemudiannya membuat serbuan lanjut di sebuah rumah di kampung sama pada pukul 11 malam dan menahan enam lelaki termasuk seorang warga Thailand berumur 26 hingga 39 tahun,“ katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Hasil pemeriksaan di bilik stor di bahagian tepi rumah itu, menurutnya polis menemukan satu peket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu dianggarkan seberat 22.90 gram bersama alatan menghisap dadah, dan di belakang rumah itu pula 18 bungkusan plastik hitam berisi kira-kira 130kg daun ketum ditemukan.

Fisol berkata pada pukul 6 pagi Sabtu lepas pula polis menahan dua lelaki berumur 25 dan 34 tahun di kawasan stesen minyak di Kampung Padang Kerasak, Kuala Nerang.

Beliau berkata hasil pemeriksaan keatas sebuah beg yang dicampak oleh suspek semasa cuba melarikan diri, polis menemukan satu bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan kristal syabu dan satu bungkusan plastik lutsinar berisi dadah syabu yang dianggarkan seberat lebih dua kilogram.

“Lapan daripada suspek positif dadah dan ada di antara mereka yang mempunyai rekod jenayah lampau. Kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,“ katanya.

Sementara itu Fisol berkata 34 lokasi kerap berlaku kemalangan umum dan maut telah dikenal pasti di seluruh Kedah sempena Aidilfitri ini, dan lebih 200 anggota serta pegawai akan bertugas sepanjang Op Selamat bagi memastikan lalu lintas di semua laluan utama negeri berjalan lancar.