CHUKAI: Polis sedang mengesan seorang guru lelaki bagi membantu siasatan kes mencederakan seorang guru wanita di sebuah sekolah rendah di Kemaman hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata mangsa yang juga guru bahasa Inggeris berusia 32 tahun itu didakwa ditumbuk dan disepak suspek di kantin sekolah kira-kira 6.55 pagi tadi.

Beliau berkata susulan itu mangsa membuat laporan di Balai Polis Air Putih dekat sini pada 8.20 pagi.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa lebam pada mata kiri. Polis kini memburu suspek yang berusia 49 tahun,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

Hanyan berkata kes berkenaan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah.