KUALA LUMPUR: Polis giat mengesan pemilik akaun media sosial didakwa menyebarkan kebencian menyasarkan beberapa pemain bola sepak kebangsaan, susulan serangan terhadap pemain, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata kebelakangan ini, hantaran media sosial yang berupa serangan peribadi terhadap sasaran tertentu melibatkan pemain bola sepak tidak boleh dipandang ringan, kerana ia akan menumbuhkan sikap kebencian yang berlebihan.

“Ada sampai kewujudan beberapa laman media sosial seperti Facebook yang bertujuan untuk menghina, memperlekeh dan segala gerak geri pemain bola sepak kebangsaan ini dipertikai, malah cara mereka (pemain bola sepak) ini meraikan jaringan juga diulas demi membangkitkan kebencian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri seminar Jenayah Siber dan Kesedaran Penyalahgunaan Bahan oleh Polis Diraja Malaysia pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024, di sini hari ini.

Saifuddin Nasution turut menggesa agar tindakan itu dihentikan, kerana insiden menimpa pemain bola sepak kebangsaan seperti Akhyar Rashid dan Faisal Halim, tidak baik untuk perkembangan sukan bola sepak negara, yang sepatutnya mempunyai persekitaran kondusif.

Dalam pada itu, beliau juga mengulangi bahawa keselamatan pemain bola sepak di negara ini terjamin, kerana itu tugas hakiki pihak polis untuk melindungi semua pihak.

“Keadaan keselamatan dan keamanan seluruhnya adalah terjamin, mereka (pemain bola sepak) patut menumpukan perhatian kepada karier mereka menjelang musim liga ini,” katanya.

Terdahulu, polis menahan seorang lagi individu yang disyaki terbabit dalam kejadian simbah asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Petaling Jaya, pada Ahad.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata lelaki berusia lingkungan 30-an itu, ditahan di Bandar Baru Bangi, Kajang petang semalam dan direman lima hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

Ahad lepas, media melaporkan pemain sayap pasukan Selangor FC Faisal Halim mengalami kecederaan pada badan, dipercayai akibat disembah asid dan dibawa ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.