KLANG: Polis meminta keluarga kanak-kanak perempuan yang didakwa menjadi mangsa serangan dua anjing liar di Pangsapuri Taman Suri Pendamar, di sini baru-baru ini untuk segera tampil membuat laporan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata sehingga kini pihaknya masih belum menerima laporan tentang kejadian itu, sekaligus menyukarkan siasatan dan usaha mengesan mangsa dijalankan.

“Kita dalam proses mengesan mangsa dan untuk itu, saya harap ibu mangsa dapat membantu dengan tampil membuat laporan di balai polis berdekatan bagi memudahkan tindakan lanjut dapat dibuat,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kes serangan dua anjing liar terhadap seorang kanak-kanak perempuan pada 10 Mac lepas yang mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa.

Mengikut laporan media, dalam kejadian sekitar 2 petang pada Ahad lalu itu, mangsa Nur Acha Dawina, 11, diserang ketika sedang membuang sampah bersama ibu saudaranya mengakibatkan kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan parah iaitu luka besar di bahagian kepala, telinga, kaki serta tangan hingga terpaksa menerima 15 jahitan dan perlu menjalani pembedahan selama enam jam bermula jam 12 tengah hari hingga 6 petang, 11 Mac lalu.

Berhubung kes sama, Cha berkata seorang lelaki tempatan berusia sekitar 50-an yang didakwa pemilik kepada anjing tersebut telah tampil membuat laporan polis menafikan haiwan terbabit adalah miliknya.

Beliau berkata lelaki tersebut membuat laporan polis pada hari kejadian selepas mendapat makluman mengenai insiden itu daripada keluarga mangsa.

Dalam pada itu, Cha berkata pelbagai barang kes sepanjang 2023 membabitkan aktiviti perjudian, kontraban dan perlombongan mata wang kripto bitcoin berjumlah RM700,000 dilupuskan hari ini selepas siasatan menyeluruh selesai dilakukan dan pesalah telah didakwa serta dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

Pelupusan barang kes ini melibatkan 2,026 unit barang perjudian; 4,443 unit barang kes kontraban dan 837 unit barang kes bitcoin membabitkan 152 kertas siasatan yang dijalankan sepanjang tahun lalu, katanya. - Bernama