GEORGE TOWN: Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga asing dan merampas pelbagai jenis mercun yang bernilai RM408,943, dalam dua serbuan di Batu Maung, dekat sini pada 19 dan 20 Jan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata polis pada mulanya menerima maklumat berhubung kegiatan pengedaran dadah, dan menjalankan operasi tapis sebelum menahan sebuah van di Batu Maung pada 11 malam, Khamis.

“Kenderaan itu dinaiki tiga lelaki berusia 26 hingga 45 tahun dan pemeriksaan awal kami menemui satu paket ketamin seberat 6.40 gram (g) dan 18 biji eramin 5 yang kesemuanya bernilai RM2,700, namun pemeriksaan lanjut polis turut menemui 81 kotak yang mengandungi 527 pelbagai jenis mercun.

“Ekoran penahanan mereka, polis kemudiannya menyerbu sebuah premis juga di kawasan Batu Maung dan merampas 44 guni mengandungi 333 kotak pelbagai jenis mercun yang disimpan di situ,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata mercun yang dirampas ialah 860 kotak pelbagai jenis mercun yang kesemuanya bernilai RM408,943.

Mohd Shuhaily berkata siasatan mendapati semua mercun itu dibawa masuk dari negara jiran dan untuk diedar serta dijual di sekitar Pulau Pinang, sempena Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata lelaki berusia 45 tahun yang ditahan itu merupakan peniaga dan siasatan awal dipercayai dia mendapatkan bekalan daripada sindiket yang membawa masuk mercun tersebut, manakala dua lagi lelaki merupakan pekerjanya.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket tersebut dan polis percaya ini bukan pertama kali mereka menyeludup masuk mercun itu, berdasarkan jumlah rampasan yang banyak,” katanya.

Mohd Suhaily berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada tiga suspek itu positif dadah jenis methamphetamine dan semua mereka kini direman sehingga 24 Jan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Beliau berkata bagi kesalahan dadah, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala kesalahan jenayah melibatkan mercun, kes disiasat dibawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image