BUTTERWORTH: Polis Pulau Pinang menahan empat lelaki dipercayai “mat rempit” kerana menunggang motosikal secara berbahaya dan bersaing sesama sendiri, dalam Op Samseng Jalanan di sini awal pagi tadi.

Polis Pulau Pinang memaklumkan empat lelaki itu ditahan dalam operasi bermula 1 pagi hingga 6 pagi di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Sama Gagah di sini.

“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang telah mengadakan Op Samseng Jalanan membabitkan kumpulan motosikal berhimpun dan melakukan pelbagai aksi berbahaya.

“Dalam operasi itu, polis menahan empat lelaki dan menyita empat motosikal mereka kerana melakukan aksi bersaing sesama sendiri, meniarap seperti Superman, zig-zag dan melawan arus yang membahayakan kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,“ menurut hantaran di Facebook hari ini.

Empat lelaki terbabit ditahan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis turut mengeluarkan sebanyak 19 saman kerana pelbagai kesalahan lalu lintas.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya memaklumkan lima motosikal disita dan 49 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di daerah itu, awal pagi tadi.

“Selain membendung samseng jalanan yang melibatkan mat rempit, operasi itu juga bertujuan memastikan penunggang motosikal sentiasa mematuhi peraturan-peraturan lalu lintas sedia ada dan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan,“ menurut hantaran Facebook hari ini.