BATU PAHAT: Polis merampas lima pasang stoking tertera kalimah Allah yang dipulangkan oleh rangkaian kedai serbaneka ketika pemeriksaan di sebuah kilang di Sri Gading, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata kilang terbabit menjadi tempat pembungkusan dan pengedaran stoking itu ke rangkaian kedai serbaneka beralamat di Cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor.

Katanya hasil pemeriksaan mendapati kilang tersebut telah mengimport sebanyak 16 bungkusan yang berisi 18,800 pasang stoking namun tiada lagi stoking tertera kalimah Allah ditemui kecuali yang telah dirampas.

“Sekitar 9 pagi tadi, saya bersama pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Batu Pahat bersama 40 anggota telah membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas kilang tersebut.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multi Media (AKMM) 1988 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pemeriksaan di kilang itu hari ini.

Beliau berkata siasatan juga dijalankan oleh Unit Siasatan Terkelas Bukit Aman dan pihaknya memohon agar mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan supaya tidak mengambil langkah yang menyalahi undang-undang berkaitan isu berkenaan.

Sementara itu, Pengurus Syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd Soh Hui San membuat permohonan maaf berhubung isu stoking yang tertera kalimah Allah dan menyatakan stoking berkenaan diimport dari negara China.

Beliau berkata pihaknya mengakui kecuaian datang daripada syarikatnya dan menyatakan perkara itu kali pertama berlaku setelah lebih 10 tahun mengimport stoking untuk pasaran tempatan.

“Saya dengan rendah diri mengakui kesilapan ini dan akan lebih berhati-hati pada masa yang akan datang...saya juga memohon maaf terutamanya kepada yang beragama Islam,” katanya. - Bernama