BALIK PULAU: Polis menahan dua wanita termasuk seorang warga emas dipercayai menjadi keldai akaun kepada dua sindiket penipuan sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM74,978.80, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata dua wanita berumur 30 dan 65 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Barat Daya di Bayan Lepas bagi membantu siasatan.

“Dalam kes pertama, wanita berumur 30 tahun itu ditahan menjadi keldai akaun kepada sindiket memperdaya mangsa dalam urusan penipuan tawaran kerja yang tidak wujud melalui dalam talian.

“Berdasarkan siasatan, mangsa telah diberikan pautan Amazon untuk tawaran kerja terbabit dan seterusnya mangsa telah membuat beberapa transaksi ke akaun bank membabitkan jumlah keseluruhan RM43,349,“ katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Bagi kes melibatkan wanita warga emas, beliau berkata dia ditahan dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan iaitu memperdaya mangsa dalam urusan kerja sambilan tidak wujud melalui dalam talian susulan laporan polis di Bayan Baru di sini.

Kamarul Rizal berkata berdasarkan siasatan, mangsa telah membuat 12 transaksi secara dalam talian ke akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM31,689.80 dan hanya menyedari menjadi mangsa penipuan selepas tidak mendapat kerja sambilan yang ditawarkan serta duit simpanannya turut lesap.

Beliau berkata kedua-dua wanita itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.