KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki melakukan perbuatan khianat dengan memandu kenderaan secara berbahaya dengan niat mengancam keselamatan pemandu lain di ibu negara Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata suspek berumur 35 tahun itu ditahan susulan aduan seorang lelaki, yang mendakwa suspek dengan sengaja melanggar keretanya, dalam kejadian pada hari Isnin lepas.

Beliau berkata kenderaan pengadu mengalami kerosakan teruk namun pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya suspek direman tiga hari, dan semakan mendapati lelaki itu mempunyai pelbagai rekod jenayah sejak tahun 2014 dan masih dikehendaki bersabit penyiasatan kes jenayah di daerah Cheras.

“Kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya Kuala Lumpur hari ini dengan cadangan untuk menuduh suspek di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat,” katanya dalam kenyataan hari ini.