BALIK PULAU: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes penipuan pelaburan minyak enjin kenderaan yang mengakibatkan mangsa mengalami kerugian RM240,000, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata ahli perniagaan berumur 51 tahun itu ditahan di Bayan Lepas, susulan laporan oleh seorang wanita berusia 24 tahun bekerja sebagai pengurus besar sebuah syarikat, baru-baru ini.

Beliau berkata menurut laporan, wanita itu diperkenalkan kepada lelaki berkenaan oleh bapa angkatnya untuk melabur dalam syarikat suspek, dan dia bersetuju dan membuat pemindahan wang dengan jumlah keseluruhan RM240,000 kerana dijanjikan keuntungan RM50,000 sebulan.

Bagaimanapun katanya wanita itu merasa dia ditipu apabila menerima hanya RM1,000 sejak melabur Jun lepas, dan dia kemudiannya bertindak membuat laporan polis.

“Lelaki itu kini direman sehingga 17 Mac dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya siasatan awal mendapati lelaki itu menggunakan wang yang dilaburkan oleh mangsa untuk menjalankan projek baharu yang lain kerana projek minyak enjin tidak dapat dijalankan disebabkan berhadapan masalah rundingan dengan kontraktor projek. - Bernama