KOTA BHARU: Polis merampas sepucuk pistol jenis Smith & Wesson .357 Magnum bersama 29 butir peluru selepas menahan sepasang kekasih berumur 27 dan 39 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Palekbang, Tumpat, dekat sini pada 27 Julai lepas.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pistol tersebut dijumpai di dalam bekas plastik di dalam semak ketika serbuan Op Tapis pada 11.30 malam.

“Anggota polis turut menemukan 800 biji pil yaba dan ganja seberat 225 gram di dalam tin yang dianggarkan bernilai RM19,250.

“Susulan penahanan pasangan kekasih itu, polis kemudiannya telah melakukan serbuan ke sebuah rumah lagi di kampung di Palekbang dan menahan seorang lelaki berumur 35 tahun,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata ketiga-tiga individu itu ditahan reman selama tujuh hari hingga Rabu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960.

Beliau berkata ketiga-tiga individu yang ditahan itu didapati positif methamphetamine dan turut memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Menurutnya, susulan kejadian itu juga polis turut menyita dua motosikal, sebuah kereta Honda Jazz, jam tangan jenama Rado dan satu kad mesin pengeluaran automatik (ATM). - Bernama