GEORGE TOWN: Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah selepas menahan sepasang suami isteri dan dua lelaki dalam serbuan berasingan, serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM528,415 di sekitar Timur Laut, di sini Khamis dan Jumaat lepas.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata dalam kes pertama, polis menahan seorang lelaki di kawasan parkir sebuah pasar raya di Tanjung Tokong pada 4 petang Khamis dan merampas lima paket ketulan kristal seberat 5,170 gram (g) bernilai RM170,610 bersamanya.

“Hasil soal siasat polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di kawasan Gelugor dan menahan isteri kepada lelaki itu sebelum merampas empat paket ketulan kristal seberat 4,140g bernilai RM136,620.

“Polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah di Gelugor dan menahan seorang lagi lelaki yang merupakan ahli sindiket pengedaran dadah didalangi suami isteri berkenaan,“ katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini

Beliau berkata ketiga-tiga suspek berumur 36 hingga 41 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah untuk pasaran di sekitar negeri ini sejak Februari lepas dan kesemua syabu yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan 45,000 penagih.

Susulan penahanan tiga individu itu Mohamed Usuf berkata polis menyita wang tunai, kereta Toyota Avanza, motosikal BMW dan pelbagai barang kemas yang kesemuanya bernilai RM99,602.

Katanya lelaki pertama yang ditahan itu merupakan ahli perniagaan dan turut mempunyai pub di negeri ini manakala dua lagi tidak bekerja dan kesemua mereka kini direman hingga 21 Mac ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Bagi kes kedua polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun di sebuah apartmen di Batu Lanchang di sini pada 4 petang Jumaat lepas dan merampas dadah jenis ketamin seberat 26g sebelum menyerbu sebuah lagi rumah juga di Batu Lanchang,“ katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata dalam serbuan di rumah kedua itu polis merampas ketamin seberat 110g, 29 biji pil ekstasi, methylenedioxymethamphetamine (MDMA) (63g) serta 30 biji pil eramin 5, dan semua dadah itu dipercayai digunakan untuk dicampur dalam pek minuman segera terkenal.

Katanya berpandukan maklumat dari lelaki itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah di Jalan Datuk Keramat, di sini dan merampas 138 bungkusan campuran minuman segera mengandungi dadah jenis MDMA seberat 2,663.6g.

“Dadah MDMA yang dicampur dengan campuran minuman segera itu adalah untuk pasaran di pusat-pusat hiburan di sekitar negeri ini dan suspek dipercayai bergiat aktif sejak Oktober tahun lepas. Semua dadah dirampas bernilai RM221,185,“ katanya.

Menurutnya ujian air kencing mendapati lelaki yang mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta narkotik itu positif dadah, dan dia kini direman sehingga 22 Mac ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama