PPM Wilayah Satu rampas rokok bernilai lebih RM700,000

SHAH ALAM: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu berjaya merampas 6,910 karton pelbagai jenis rokok dianggarkan bernilai RM759,434.88 termasuk cukai di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Overseas Union, Jalan Klang Lama, di ibu negara petang semalam.

Komander PPM Wilayah Satu ACP Shamsol Kassim dalam kenyataan berkata taktik sindiket pengedaran rokok seludup menjadikan rumah teres dua tingkat itu sebagai stor transit mereka terbongkar apabila diserbu 3.30 petang pihaknya namun tiada tangkapan dilakukan.

Shamsol berkata pembongkaran aktiviti berkenaan adalah hasil intipan PPM Pelabuhan Klang menerusi Op Contraband terhadap sebuah kereta jenis Proton Persona yang baru selesai menghantar rokok tidak bercukai di kawasan Telok Gong, Pelabuhan Klang, Klang dekat sini.

Beliau berkata pihaknya kemudian mengekori kereta tersebut sehingga ditemui diparkir di sebuah rumah di Taman Overseas Union, Jalan Klang Lama.

“Setelah memanggil penghuni rumah dan tidak disahut oleh mereka, pasukan serbuan bertindak memanjat pagar dan memasuki rumah yang tidak berkunci itu dan pemeriksaan telah dibuat di mana tiada penghuni didalamnya serta dipercayai mereka telah melarikan diri melalui pintu belakang rumah yang terbuka,” katanya.

Turut dirampas sebuah Proton Persona dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM779,434.88, kata Shamsol yang menjelaskan siasatan awal mendapati rumah itu disewa sindiket berkenaan sebagai stor transit untuk pasaran sekitar Lembah Klang berdasarkan resit-resit yang ditemui di lokasi kejadian. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image