Laporan & gambar oleh Masry Che Ani

BAYAN LEPAS: Di saat orang ramai gembira melihat mereka beraksi sebagai watak “Predator” dan “Spider-Man”, ramai juga yang tidak tahu kedua-kedua penghibur jalanan ini sedang menghadapi kehidupan yang penuh dugaan.

Mohd Nor Hisham Awang Nong, 47, yang berpakaian watak makhluk asing dari siri filem “The Predator” merupakan orang kurang upaya (OKU) yang hilang penglihatan mata kanannya sejak tahun 2016.

Katanya, matanya buta disebabkan kerosakan di bahagian retina dan akibat itu beliau tidak dibenarkan meneruskan pekerjaan sebagai pemandu ambulans.

"Dua kali saya membuat pembedahan mata, malangnya doktor yang merawat mengesahkan mata kanan saya tidak boleh sembuh lagi," katanya.

Hisham berkata selepas itu, dia merujuk ke Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mendapat pendapatan melalui pencen ilat seumur hidupnya, untuk menyara dirinya dan keluarganya.

$!‘Predator’, ‘Spider-Man’ perlukan sokongan anda

"Baru-baru ini mata sebelah kiri pula mengalami gangguan penglihatan dan selepas membuat pemeriksaan, doktor yang merawat mengesahkan kemungkinan mata itu juga akan buta," katanya.

Katanya, dia bersyukur sejak videonya berpakaian Predator sedang menolak motosikal yang kehabisan minyak menjadikan beliau dikenali ramai.

"Alhamdulilah, sekarang inilah sumber pendapatan saya dengan membuat persembahan jalanan, selain mengusahakan gerai ayam goreng gunting di Jalan Utama berdekatan Hospital Pulau Pinang," katanya.

Hisham berkata beliau sanggup memakai pakaian lengkap Predator yang seberat enam kilogram dan berpanas dua hingga tiga jam demi mencari rezeki bagi menyara tujuh orang anak berusia antara 25 hingga 13 serta isterinya Hasimawati Hashim, 41.

Sementara itu Ahmad Shakirin Mohd Zain, 51, menjadi seniman jalanan memakai kostum Spider-Man demi kelangsungan hidup terutama bagi merawat isterinya Nuraznita Mohamad Ismail, 38, yang juga OKU selepas kehilangan kaki kanan akibat penyakit kencing manis.

Katanya, baru-baru ini tulang paha kanan isterinya patah selepas terjatuh dari kerusi roda semasa dibilik sewanya. Akibat kejadian itu, isterinya tidak mampu lagi mengikutnya dan membantu membuat persembahan jalanan.

$!‘Predator’, ‘Spider-Man’ perlukan sokongan anda

Ahmad Shakirin yang juga seorang pelukis dan pernah mencari rezeki dengan menjual hasil lukisannya di Pasar Seni Kuala Lumpur berhijrah ke Pulau Pinang pada 2019 bagi mencari kehidupan baru.

"Alhamdulilah, pendapatan saya tidak seberapa tapi mampu untuk menampung perbelanjaan makan minum dan membayar sewa bilik setiap bulan," katanya.

Tambahnya, kadangkala pendapatannya mencecah puluhan ringgit sehari dan ada juga hari di mana dia sekadar lepas makan malam bersama isterinya.

"Saya terima takdir saya sebagai seniman jalanan dan berharap orang ramai dapat memberi peluang mengadakan persembahan demi rezeki yang halal," katanya.

Sementara itu wakil masyarakat setempat Wan Hafizi Wan Zakaria atau dikenali Wan Yoshiki antara pihak yang banyak membantu kedua-dua seniman jalanan itu membuat persembahan.

Katanya, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, beliau tampil membantu membawa Predator dan Spider-Man ke tempat tumpuan orang awam seperti Padang Kota, Padang Brown, Anjung Indah dan berdekatan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah untuk membuat persembahan.

"Setakat ini, sambutan amat menggalakkan, terutamanya dikalangan kanak-kanak yang berminat untuk bergambar," katanya.

"Saya memang dapat merasai keperitan hidup kedua-dua mereka dalam suasana ekonomi yang tidak stabil.”

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai yang menyaksikan aksi Predator dan Spider-Man dapat menghulurkan sumbangan setiap kali melihat persembahan jalanan mereka berdua itu.

$!‘Predator’, ‘Spider-Man’ perlukan sokongan anda

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image