KUALA KUBU BAHARU: UMNO akan mendukung mana-mana calon Kerajaan Perpaduan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini.

Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dukungan itu adalah kerana UMNO berpegang kepada prinsip menghormati kerusi yang telah dimenangi oleh rakan parti komponen Kerajaan Perpaduan.

Justeru itu, beliau berkata jika terdapat permasalahan atau kenyataan berbeza yang dikeluarkan oleh pemimpin parti komponen berhubung perkara tersebut, ia hanyalah pendirian masing-masing yang diharap bersifat sementara.

“Jika kenyataan itu keluar kerana kecil hati susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh rakan-rakan dalam parti komponen, saya harap perkara ini dapat diselesaikan bagi menjernihkan kekeruhan, jika ada.

“Saya fikir kita harus berada dalam keadaan harmoni politik kerana ini akan memudahkan Perdana Menteri selaku Pengerusi Kerajaan Perpaduan untuk mencari titik persamaan dan Insya-Allah, jika ada apa-apa perbedaan, pada hemat saya ia akan dapat diselesaikan dengan cara paling terbaik,” katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Berkelompok Cawangan-Cawangan dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2024 UMNO Bahagian Hulu Selangor ketika mengulas tindakan MCA serta MIC yang memaklumkan tidak akan berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu jika calon kerajaan bukan daripada Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN itu juga berkata beliau akan berikhtiar mencari jalan terbaik dalam perkara tersebut.

“Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan mereka. Saya memahami situasi yang dihadapi oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ketika kenyataan itu dikeluarkan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa bekas Bendahari UMNO Selangor Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, yang meletak jawatan pada awal April lepas, diberi tanggungjawab baharu iaitu menyusun strategi serta pelaksanaan aktiviti politik di luar kerangka UMNO dan BN.

“Tugas itu beliau tahu dan insya-Allah, saya akan pantau prestasi beliau dalam tugas baharu ini dan saya yakin beliau boleh melakukannya,” kata Ahmad Zahid.