SHAH ALAM: DAP meminta Meta menutup akaun palsu calon Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu (KKB) Pang Sock Tao yang didakwa dicipta oleh pihak tertentu.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Teo Nie Ching percaya akan ada lebih banyak lagi akaun palsu yang menyamar sebagai calon atau pemimpin parti untuk menyebarkan maklumat salah dan ucapan kebencian semasa pilihan raya kecil akan datang.

“Pencalonan Pang Sock Tao telah diumumkan malam tadi. Hari ini, seseorang telah menggunakan fotonya untuk mencipta akaun palsu di Facebook.

“Untuk makluman semua rakyat Malaysia, halaman rasmi Pang Sock Tao ialah https://www.facebook.com/XiaoTaoUbahTV, yang diwujudkan sejak Februari 2018, dan beliau mempunyai 33,000 pengikut di halaman rasminya,” kata Teo menerusi hantaran di Facebook.

Teo yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata dengan bantuan kecerdasan buatan (AI), untuk menghasilkan kandungan kini menjadi semakin mudah.

“Jadilah netizen yang bermaklumat. Semak fakta anda daripada sumber yang boleh dipercayai. Jangan mudah terpengaruh dengan maklumat salah ini.

“Saya juga ingin menggesa mereka yang tidak sehaluan dengan kita supaya bersaing secara sihat. Libatkan diri, bukan marah, berdebat bukan kebencian,” katanya.

Semalam, Pang, yang merupakan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, diumumkan sebagai calon Kerajaan Perpaduan untuk PKR DUN KKB.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi PRK KKB di Selangor pada 11 Mei, dengan penamaan calon ditetapkan Sabtu ini (27 April) dan pengundian awal pada 7 Mei.

PRK KKB merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022 dan diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.