KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menafikan dakwaan kononnya berlaku ketidakadilan bahawa Program Jualan Rahmah hanya dianjurkan di kawasan-kawasan Parlimen kerajaan.

Beliau berkata inisiatif berkenaan meliputi seluruh kawasan Parlimen dan penjadualannya boleh disemak dalam laman sesawang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Penjadualan kita buat lebih awal, jadi kita boleh lihat di manakah program-program Jualan Rahmah, lokasi dan juga tarikhnya yang akan diadakan di setiap kawasan Parlimen bagi bulan berikutnya. Jadi portal ini membolehkan rakyat merancang di mana Program Jualan Rahmah yang ingin mereka hadiri di kawasan sekitar.

“Ini juga merupakan satu pendekatan ketulusan kita untuk menunjukkan bahawa Program Jualan Rahmah dan Agenda Payung Rahmah secara keseluruhan merupakan agenda nasional yang tidak hanya dikhususkan kepada pihak-pihak tertentu semata-mata,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPDN di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata secara keseluruhannya sebanyak 6,870 Program Jualan Rahmah dianjurkan sepanjang tahun lepas meliputi 3,053 dalam premis, 685 luar premis dan 3,132 Program Jualan Rahmah secara bergerak.

Sementara itu, Armizan berkata KPDN telah memeriksa 6,806 premis perniagaan di seluruh negara dan mengeluarkan 380 notis menerusi Op Kesan bagi tempoh 1 Mac hingga semalam.

Beliau berkata notis terbabit dikeluarkan kepada peniaga yang didapati melakukan perubahan harga dan mereka perlu mengemukakan jawapan dalam tempoh empat hari dari tarikh notis dikeluarkan.

Op Kesan dilaksanakan bagi memantau kesan pelaksanaan peningkatan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus yang mula berkuat kuasa 1 Mac lepas.

Mengulas mengenai langkah KPDN memastikan kestabilan harga barangan di pasaran, Armizan berkata seramai 900 pegawai pemantau harga digerak bagi melakukan pemantauan terhadap lebih 400 jenis barangan meliputi 1,500 premis setiap hari.

“Terdapat lebih 2,200 pegawai penguat kuasa juga menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan rapi sepanjang masa, menggunakan pelbagai strategi penguatkuasaan bagi memastikan kestabilan harga barangan di pasaran dan seterusnya memastikan tiada elemen pencatutan dalam penentuan harga di pasaran,” katanya.

Berhubung dakwaan wujudnya kartel dalam industri padi dan beras negara, beliau mengesahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah memulakan siasatan berhubung perkara itu.

“Saya mengesahkan MyCC telahpun mula melakukan siasatan dakwaan wujudnya kartel berkaitan padi dan beras bermula tahun ini. Adanya aduan rasmi ini, MyCC memulakan langkah untuk penyiasatan menggunakan Akta Persaingan 2010 tersebut,” katanya. - Bernama