PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluas pelaksanaan Program Jualan Rahmah (PJR) sepanjang Ramadan tahun ini melibatkan 450 lokasi secara berjadual di seluruh negara.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata usaha murni itu bertujuan membantu meringankan kos sara hidup rakyat bagi membeli keperluan asas pada harga lebih murah khususnya pada Ramadan.

Armizan berkata PJR Ramadan tersebut akan melibatkan jualan produk barangan keperluan asas pada kadar potongan harga di antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga jualan asal.

“Selain penjualan barang-barang keperluan kering sebagai mana kebiasaan, PJR Ramadan juga akan melibatkan penawaran jualan barangan keperluan harian lain seperti ayam, daging lembu, ikan dan pelbagai hasil laut, beras dan telur ayam.

“Terdapat juga jualan barangan keperluan untuk membuat kuih muih sebagai persiapan menyambut Aidilfitri. PJR Ramadan ini akan dilancarkan di Putrajaya dan bermula serta merta pada Ramadan pertama,“ katanya kepada pemberita selepas melancarkan PJR di Kinarut dekat sini hari ini.

Armizan berkata kementeriannya juga menjalin kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi mendapatkan bekalan produk khususnya barangan basah yang terlibat dalam jualan murah tersebut.

Beliau berkata sekurang-kurangnya dua siri PJR Ramadan disasarkan untuk dilaksanakan di setiap satu Parlimen di seluruh negara, justeru orang ramai boleh mengunjungi program jualan itu di sekitar lokasi masing-masing.

Di Sabah, katanya sebanyak 50 siri PJR Ramadan akan dilaksanakan di semua 25 kawasan Parlimen seluruh negeri.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan PJR Ramadan melalui portal KPDN di pautan https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah.

Selain PJR Ramadan, KPDN juga akan melaksanakan program Bazar Ramadan dan inti pati pelaksanaannya akan diumumkan kemudian, katanya. - Bernama