KUALA TERENGGANU: Program Ladang Kontrak oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merupakan antara strategi diatur Kerajaan Terengganu dalam usaha membebaskan golongan petani daripada cengkaman orang tengah yang meraih keuntungan tidak wajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Dr Azman Ibrahim berkata program berkenaan membolehkan FAMA membuat perjanjian untuk pembelian hasil pada harga semasa dengan petani.

Beliau berkata sekiranya harga pasaran semasa menurun kepada kadar yang tidak sepatutnya hingga merugikan petani, penetapan harga lantai pada 10 hingga 20 peratus lebih tinggi daripada kos pengeluaran oleh program itu akan digunakan FAMA sewaktu proses pembelian berlangsung.

“Ini bagi memastikan petani tidak mengalami kerugian. Namun begitu, mereka tidak terikat untuk hanya menjual dengan FAMA, mereka boleh jual kepada tempat lain sekiranya ditawarkan harga yang lebih lumayan,“ katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Mohd Yusop Majid (Bersatu-Permaisuri) yang ingin tahu langkah kerajaan negeri dalam melindungi hasil tanaman supaya harganya dapat dikawal sehingga tidak berlaku kes orang tengah meraih keuntungan, pada sesi soal jawab lisan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri ke-15 di sini hari ini.

Azman berkata Program Jualan Terus Dari Ladang turut membolehkan petani dan pekebun menjual secara terus kepada pengguna di peruncit atau saluran luar (outlet) FAMA terpilih seperti Pasar Tani Kekal, Pasar Borong, Agro Bazar dan Agro Bazar Kedai Rakyat.

Penganjuran program bersaiz mega seperti Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Terengganu (HPPNT) sebelum ini, katanya turut mendatangkan purata hasil jualan hingga RM1 juta dalam tempoh tiga hari pelaksanaan HPPNT.