KUALA TERENGGANU: Penganjuran program Pelita Raya Terengganu 2024 (Peliter@TTI 2024) di Taman Tamadun Islam dijangka menarik kehadiran lebih 40,000 pengunjung.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata program selama lima hari bermula 17 Mac yang bertemakan ‘Tradisi Diwarisi, Comeynya Peliter Itu’ mengetengahkan konsep pelita raya pesisir air.

Beliau berkata program itu mendapat 10 penyertaan daripada lapan pejabat daerah termasuk Kuala Terengganu, Besut, Setiu, Kuala Nerus, Marang, Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.

“Dua lagi peserta ialah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu yang akan bertanding merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM11,500.

“Program pelita raya ini boleh dianggap sebagai satu tradisi yang diadakan setiap tahun dengan tema dan konsep berbeza untuk kepelbagaian dan menarik kunjungan orang ramai,“ katanya ketika ditemui pada lawatan persiapan program Peliter@TTI 2024 di Taman Tamadun Islam di sini.

Ahmad Ridzwan berkata keunikan pelita raya ialah peserta disyaratkan menggunakan barangan terpakai seperti tempurung, tin minuman, buluh dan botol untuk membuat binaan atau perhiasan bagi menggambarkan suasana raya.

Bagi menarik lebih ramai pengunjung, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu turut menganjurkan pertandingan fotografi dan video TikTok yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM2,500.

“Pertandingan fotografi dan video TikTok terbuka kepada semua pengunjung bermula 19 Mac. Mereka hanya perlu memuat naik gambar atau video di laman sosial Facebook atau TikTok masing-masing bersama #PeliterTTI2024, #BeautifulTerengganuMalaysia dan #TerengganuDokRilek untuk menyertai pertandingan,“ katanya.

Menurut beliau selain menikmati keindahan dekorasi pelita, pengunjung juga boleh membeli-belah di gerai jualan serta menikmati pelbagai program kebudayaan dan kesenian yang turut diadakan di tapak program. - Bernama