ROMPIN: Projek ternakan ayam berskala besar secara sistem tertutup melibatkan peruntukan kira-kira RM60 juta di Kampung Tanjung Seratus, di sini bakal beroperasi Disember depan, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata projek yang diusahakan Felcra Berhad (Felcra) di tanah berkeluasan kira-kira 20 hektar itu mampu membekalkan sebanyak 600,000 ekor ayam satu pusingan 35 hari atau 3.6 juta ekor pada tahun pertama operasinya.

Menurutnya ketika ini, keperluan ayam dalam negara adalah lebih dua juta ekor sehari atau kira-kira 62.9 juta ekor sebulan.

Mahdzir berkata menerusi inisiatif tersebut, ia dapat membantu negara mengekalkan bekalan makanan sekali gus menjana ekonomi antaranya mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Felcra telah buat libat urus dengan pihak mempunyai kepakaran dan teknologi untuk projek ini. Selain itu, Felcra juga akan adakan kawasan atau tapak di negeri lain untuk tambah bekalan ayam negara,” katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Ramlan Harun, Pengerusi Felcra Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Datuk Mat Roni Zakaria.

Projek tersebut merupakan sebahagian rancangan untuk mempelbagaikan bidang perniagaan Felcra dan tidak hanya bergantung kepada sektor perladangan kelapa sawit sahaja.

Selain reban ayam, beberapa bangunan fasiliti juga dicadangkan untuk dibina di tapak projek berkenaan antaranya kuarters pekerja dan pengurusan, stor penyimpanan jentera, pejabat pentadbiran dan makmal. - Bernama