GEORGE TOWN: Pulau Pinang mencipta sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi Penanaman Satu Juta Pokok Dalam Sehari Sempena Hari Bumi pada hari Isnin (April 22).

Program anjuran Yayasan Amal Tuan Yang Terutama (TYT) Pulau Pinang dengan kerjasama Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri itu mencapai sasaran penanaman satu juta pokok tepat 11.30 pagi tadi dan disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi MBR Christoper Wong Hong Wai dan pegawainya Siti Nurhanim Mohd Noh.

Sijil pengiktirafan disampaikan Wong kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal TYT Pulau Pinang Datuk Seri Rozali Mohamud dan disaksikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada satu majlis di Seri Mutiara, malam ini.

Turut menyaksikan penyerahan sijil itu ialah Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Rosli Isa dan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Law Choo Kiang.

Ahmad Fuzi dalam ucapannya berkata program berkenaan merupakan satu kejayaan besar sekali gus mencatat sejarah baharu di negeri ini.

“Kita bukan sahaja telah berjaya menanam satu juta pokok, tetapi lebih daripada sasaran yang ditetapkan.

“Dengan kejayaan yang dicapai ini, kerajaan dan rakyat Pulau Pinang telah menunjukkan kebolehan yang luar biasa hasil daripada visi dan hala tuju yang jelas,” katanya.

Sementara itu, Rozali berkata meskipun telah mencapai sasaran satu juta pokok, komitmen tinggi masih ditunjukkan rakyat negeri ini apabila sebanyak 1,251,512 juta pokok telah ditanam setakat 5.30 petang tadi.

Beliau berkata sebanyak 709,309 batang pokok ditanam oleh agensi awam; swasta (98,742); komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi berasaskan komuniti (CBO) (148,586); pihak sekolah (148,586) manakala 167,892 lagi oleh individu.

“Keseluruhan tempoh mulai dari perancangan, perolehan sumber, koordinasi dan pelaksanaan mengambil masa lima lima bulan sahaja dengan penglibatan semua pihak berkepentingan terdiri daripada jabatan kerajaan, agensi kerajaan, sektor swasta, ahli korporat, masjid, rumah ibadat, sekolah, universiti, institut pengajian tinggi, NGO, CBO dan individu tanpa mengira umur bangsa atau agama,” katanya.

Chow pula berkata pencapaian penanaman satu juta pokok sangat penting dalam usaha menghijaukan Pulau Pinang, selari dengan Visi Penang2030 yang berinspirasi menjadikan negeri ini sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Beliau berkata usaha itu juga mampu meletakkan Pula Pinang di mata dunia sebagai sebuah lokasi pelancongan hijau dan pusat kajian strategik kemampanan selaras dengan kehendak kemampanan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di samping lokasi yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Siantifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).