NILAI: Polis telah memanggil 11 individu bagi membantu siasatan susulan aduan yang mendakwa terdapat aktiviti mencurigakan di sebuah pusat keagamaan dan kerohanian dekat sini.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata tiada tangkapan dibuat setakat ini dan pihaknya masih giat menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan.

“Kami menyiasat dalam semua sudut. Termasuk jika ada unsur-unsur ajaran yang salah. Sehingga kini siasatan masih berjalan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun turut memaklumkan siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berhubung perkara berkenaan.

“Saya belum mendapat laporan penuh berkenaan perkara itu, saya berharap pihak berkuasa yang terlibat termasuk jabatan agama berwajib dapat menjalankan siasatan segera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai aduan seorang individu berkaitan sebuah pusat keagamaan dan kerohanian di Nilai didakwa melakukan aktiviti bertentangan dan mampu menggugat kedaulatan negara.