AMMAN: Putera Mahkota Jordan Al Hussein bin Abdullah II mendirikan rumah tangga dengan pewaris diraja Arab Saudi yang juga seorang arkitek Rajwa Al Saif pada Khamis dalam majlis perkahwinan yang dihadiri keluarga diraja dari seluruh dunia.

Pernikahan itu berlangsung di Istana Zahran di ibu negara Jordan, Amman dengan Raja Abdullah II, Putera Hassan bin Talal dan bapa pengantin perempuan menjadi saksi, lapor agensi Anadolu.

Selepas majlis pernikahan, televisyen kendalian kerajaan melaporkan bahawa putera mahkota dan pengantin perempuan mengelilingi ibu kota dalam perarakan kereta diraja ke Istana Al Husseiniya untuk majlis resepsi.

Sejurus selepas majlis pernikahan itu, Al Saif dianugerah gelaran puteri menerusi titah diraja.

Raja dan Permaisuri menganjurkan majlis resepsi perkahwinan itu di Istana Al Husseiniya yang dihadiri lebih 1,700 tetamu dari pelbagai negara, termasuk pemimpin negara.

Raja Abdullah mempunyai empat orang anak: Putera Mahkota Hussein (29), Puteri Iman (27), Puteri Salma (23) dan Putera Hashim (18).

Putera Hussein merupakan pewaris takhta Jordan yang sah seperti yang dinyatakan dalam perenggan pertama Perkara 28 Perlembagaan.

Majlis perkahwinan Putera Mahkota Hussein dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Raja Belanda Willem-Alexander, Presiden Iraq Abdul Latif Rashid, Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati, Putera Mahkota Kuwait Mishal Al- Ahmad Al-Jaber Al-Sabah dan isteri Presiden AS Joe Biden Jill Biden dan anak perempuannya Ashley Biden. - Bernama