KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan mencemar duli menziarahi pesakit kanak-kanak di Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur.

Seri Paduka meluangkan masa lebih sejam menyantuni kira-kira 40 pesakit berumur bawah 15 tahun di hospital berkenaan dan mengurniakan sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.

Raja Zarith Sofiah kemudiannya mencemar duli melawat Sekolah Dalam Hospital (SDH) HTA yang menyediakan kelas untuk pesakit sekolah rendah dan menengah.

SDH ditubuhkan hasil kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan bagi menyediakan pendidikan berterusan secara formal dan berstruktur dalam persekitaran yang kondusif bagi murid yang sedang menerima rawatan.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, Pengarah Hospital Kuala Lumpur Datin Dr Rohana Johan dan Pengarah HTA Dr Shamsul Anuar Kamarudin. - Bernama