Rampasan dadah tahun ini meningkat — Hamzah

KAJANG: Rampasan dadah sehingga Jun tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 35 peratus berbanding keseluruhan tahun lalu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata peningkatan rampasan itu membabitkan dadah jenis ganja, methamphetamine, pil ekstasi, erimin 5 dan ketum.

“Peningkatan ini mengambarkan usaha berterusan dilaksanakan oleh agensi penguatkuasaan, walaupun menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

“Salah satu cabaran yang dihadapi untuk mengekang penawaran dadah dalam pasaran ialah kedudukan Malaysia yang berdekatan dengan Kawasan Segi Tiga Emas seperti Thailand, Laos dan Myanmar,” katanya dalam teks ucapannya pada Program Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2020 hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya Jonathan Yasin. Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Hamzah berkata pada 2019, terdapat beberapa peningkatan rampasan dadah dan substan yang signifikan iaitu daun ketum sebanyak 84 peratus, pil ekstasi (85 peratus) dan pil psikotropik , kokain, ketamin dan daun khat (melebihi 100 peratus).

“Rampasan kokain terbesar juga pernah direkodkan pada 2019 iaitu sebanyak 12 tan bernilai RM2.4 bilion dipercayai untuk tujuan transit ke negara lain,” katanya.

Beliau juga berkata pengasingan sosial akibat kesan tidak langsung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan meningkatkan tabiat penagihan dadah terutama kepada mereka yang sedang dalam proses pemulihan.

Menurutnya kajian McKinsey National Consumer Survey pada Mac lalu mendapati 87 peratus respondennya yang kehilangan sumber pendapatan akibat Covid-19 mengalami kemurungan.

“Saya menyeru kepada seluruh warga AADK, badan bukan kerajaan dan ahli masyarakat untuk terus memberikan perkhidmatan dan membantu klien, dengan mematuhi prosedur operasi standad yang telah ditetapkan,” katanya. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image