JOHOR BAHRU: Tempoh reman dua anggota polis dipercayai melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini membabitkan nilai RM2,000, disambung sehari lagi hingga esok.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Raub Selamat berkata perintah reman terhadap kedua-dua suspek itu dikeluarkan Majistret R. Salini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Dua anggota polis terbabit telah ditahan reman selama tiga hari bermula Sabtu dan berakhir hari ini.

Ketua Polis Johor CP M Kumar sebelum ini memaklumkan kedua-dua anggota polis berumur 32 dan 33 tahun yang bertugas di BSI itu, ditahan pada 1.50 tengah hari Jumaat lepas oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS.

Beliau berkata satu laporan polis diterima pada 12.23 tengah malam Jumaat berhubung seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun mendakwa telah diperas ugut oleh dua anggota terbabit pada Selasa (2 April).

“Siasatan awal mendapati semasa mangsa melalui BSI untuk pemeriksaan imigresen, dia telah ditahan oleh dua suspek kerana dikatakan mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

“Kemudian, suspek telah memeras ugut mangsa supaya membayar wang berjumlah RM2,000, bagi mengelakkan daripada ditangkap dan ditahan di lokap polis,” katanya dalam satu kenyataan dan menambah hasil ujian saringan air kencing kedua-dua anggota berkenaan adalah negatif.