KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Israel yang ditahan bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di sini minggu lepas disambung reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata permohonan sambung reman terhadap Shalom Avitan, 38, yang berakhir hari ini dibuat bagi membolehkan pihak polis melengkapkan laporan siasatan secara terperinci.

“Kita masih memerlukan sedikit masa untuk mengumpulkan segala bukti kukuh berkaitan suspek utama ini (Avitan) dan pasangan suami isteri tempatan yang turut disambung reman Jumaat lepas.

“Pada masa ini, pihak kita (polis) masih meneliti motif dan tujuan utama suspek memiliki enam pucuk pistol bersama 200 butir peluru,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 27 Mac lepas, Avitan yang memiliki pasport Perancis ditahan di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, di sini, selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru, yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun itu ditahan di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor pada 29 Mac kerana disyaki menjual senjata api berkenaan kepada suspek.

Razarudin berkata pada hari sama, seorang daripada suspek ditahan di Cameron Highlands yang berperanan sebagai pemandu kepada Avitan telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan terhadapnya selesai.

“Secara keseluruhan, jumlah individu yang ditahan pada masa ini adalah seramai 15 orang termasuk dua lelaki warga Turkiye dan seorang lelaki warga Georgia,” katanya.

Lelaki warga Israel itu dikesan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac lepas dengan menggunakan pasport Perancis.