BANGKOK: Ribuan pengunjung memakai baju berbunga-bunga sambil membawa pistol dan senapang air berwarna-warni memenuhi Jalan Silom, Jalan Khaosan dan kebanyakan pusat beli-belah di sini untuk menyambut Songkran atau Tahun Baharu Thai.

Buat kali pertama tahun ini, Songkran di Thailand tersenarai sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Cuti umum sempena Songkran tahun ini adalah yang terpanjang selepas Kabinet Thailand meluluskan cuti lima hari dari 12 hingga 16 April.

Kebanyakan pusat beli-belah di Thailand melakukan persiapan bukan sahaja dengan menyediakan tangki air untuk peserta pesta untuk mengisi air, tetapi termasuk gelongsor air, kolam renang dan kolam kanak-kanak untuk peserta menyejukkan badan dalam waktu musim panas ini.

Bob Blevins, 38 seorang pelancong dari California Amerika Syarikat yang akan berada di sini sehingga Isnin berkata inilah kali pertama dalam seumur hidupnya dia terlibat dalam “pertempuran” menggunakan air di jalanan.

“Saya merancang untuk menghadiri satu majlis perkahwinan di Bali, Indonesia penghujung bulan ini dan saya dinasihatkan oleh rakan saya supaya menyertai Songkran sebelum berlepas ke Indonesia.

Saya tidak pernah tahu mengenai Songkran sehinggalah seorang kawan saya memberitahu mengenainya dan lihat sekarang saya amat menyukainya. Saya juga belajar Songkran sebenarnya ialah Tahun Baharu Thai dan air digunakan untuk mencuci nasib malang,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Jalan Khaosan di sini hari ini.

Jalan Khaosan di sini sibuk sejak semalam dengan ribuan peserta pesta memenuhi daerah popular pelancong beg galas itu untuk bertempur menggunakan air bagi menyambut Songkran.

Sebagai sebahagian daripada budaya dan tradisi Thai, adalah menjadi adat mereka untuk menyambut tahun baharu itu dengan menyimbah air terhadap satu sama lain bagi mencuci dosa dan nasib malang dengan mempercayai ini akan membawa tuah dan rahmat untuk tahun mendatang.

Digelar sebagai pertempuran air terbesar di dunia, pesta tahunan Songkran menarik ribuan pelancong dari seluruh dunia untuk menyambut perayaan itu.

Selain daripada pertempuran air, warga tempatan juga menyambut Songkran dengan mengunjungi wat untuk melakukan acara memandikan patung Buddha. Semasa upacara ini air wangi dicurahkan ke atas patung-patung itu sebagai simbolik kepada pencucian dosa daripada tahun lepas.

Selain daripada itu, ahli keluarga yang lebih muda menyiram air di tangan dan kaki mereka yang lebih tua sebagai tanda hormat.

Pesta Songkran tahun ini menyaksikan ramai yang mengambil peluang untuk balik ke wilayah masing-masing bagi menyambut cuti hujung minggu yang panjang bersama anggota keluarga mereka.