KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) disaran meneroka dan mempelopori industri perabot berasaskan kayu getah bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang bergantung kepada tanaman getah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sektor perabot berasaskan kayu getah mempunyai potensi yang amat besar untuk dipelopori oleh RISDA dan anak-anak syarikat di bawahnya.

“Saya melihat terdapat cabang-cabang baharu yang boleh diterokai menerusi kerjasama pintar dengan syarikat-syarikat perabot, contohnya.

“Dengan perkembangan teknologi yang kian pesat, saya melihat sektor perabot berasaskan kayu getah juga mempunyai potensi yang amat besar untuk dipelopori RISDA, RISDA Holdings dan anak-anak syarikat di bawahnya,“ katanya dalam catatan di laman Facebooknya hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata RISDA kini berdepan cabaran yang besar bagi memastikan punca pendapatan 552,543 orang pekebun kecil yang bergantung kepada tanaman getah dapat terus ditingkatkan.

Beliau berkata antara cabaran itu termasuklah isu kekerapan taburan hujan, ketidakstabilan harga, kekurangan tenaga kerja serta persaingan komoditi-komoditi yang lain.

Ahmad Zahid berkata di sebalik cabaran itu, getah masih menjadi komoditi penting dalam pembangunan negara, begitu juga peranan RISDA yang menyelarasnya.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri menyarankan agar RISDA antara lainnya perlu memastikan ketersediaan data industri getah yang lengkap dan kaedah analisis ekonomi yang efektif bagi menghasilkan sebuah perancangan strategik organisasi yang mapan. - Bernama