KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkasakan peranan wanita dalam ekonomi ihsan (care economy) sebagai usaha meningkatkan penyertaan mereka dalam pasaran tenaga kerja bagi tempoh akhir Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal RMK12 di Parlimen hari ini berkata usaha berkenaan juga boleh menangani cabaran penyusutan guna tenaga kesan daripada trend negara menua.

“Komitmen daripada semua pihak, termasuk pihak swasta dan pertubuhan masyarakat sivil melalui pendekatan keseluruhan negara dituntut untuk mencapai matlamat ini, dan terus mempergiat usaha untuk memastikan kadar penyertaan tenaga pekerja wanita mencapai sasaran 60 peratus dalam tempoh 10 tahun.

“Langkah untuk menggalakkan wanita kekal atau kembali bekerja akan ditingkatkan melalui penyediaan kemudahan dan sokongan yang diperlukan, seperti penjagaan anak, insentif kewangan dan waktu bekerja fleksibel,” katanya.

Beliau berkata antara program yang dilaksana termasuk inisiatif MamaCare, insentif pusat jagaan kanak-kanak mampu bayar, Career Come Back Programme dan subsidi yuran taska di tempat kerja.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan juga akan memberi penekanan dalam memperkasa Orang Kurang Upaya (OKU) dalam meningkatkan akses kepada pekerjaan.

“Maklumat mengenai pencari kerja dalam kalangan OKU akan disepadukan dalam portal MyFutureJobs, manakala prosedur operasi standard pengambilan OKU dalam perkhidmatan awam akan ditambah baik bagi mencapai sasaran 1 peratus OKU dalam perkhidmatan awam,“ katanya. - Bernama