UBON RATCHATHAN: Kem memanah negara terpaksa berpuas hati pulang dengan pencapaian empat pingat emas pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 di sini.

Ia selepas sukan itu yang menyasarkan lima pingat emas tersalah ‘panah’ sasaran apabila hanya empat pingat diraih dalam 10 aksi final berlangsung hari ini di Stadium PAO.

Emas tersebut dijelmakan menerusi acara recurve berpasukan wanita, berpasukan campuran dan individu lelaki yang berlangsung pagi tadi sebelum satu lagi diraih menerusi acara compound berpasukan wanita pada sebelah petang.

Trio dibarisi Syaqiera Mashayikh, Nuramalia Hanessha Mazlan dan Nur Afisa Abdul Halil terlebih dahulu menewaskan trio Thailand, Tundon Amornratanabongkod Tundon, Tapaneeya Silawong dan Natthakan Jantima menerusi keputusan 6-2 untuk meraih emas pertama kem memanah.

Gandingan Ahmad Afiq Akhiroman-Syaqiera kemudian menewaskan gandingan tuan rumah 5-3 memastikan pingat emas kedua sebelum Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli mengalahkan pemanah Indonesia, Alviyanto Bagas Prastyadi dengan keputusan 6-2 untuk emas ketiga.

Emas keempat disumbang trio dibarisi Iman Aisyah Norazam, Kayalvhily dan Nuraqilah Khairul selepas menewaskan wakil tuan rumah, Nichaphat Bunyapalin, Kodchaporn Pratumsuwan serta Kamonchanok Naengnoi 229-227.

Selepas saingan sukan memanah berakhir hari ini, kem memanah turut membawa pulang lima pingat perak dan satu gangsa. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image