IPOH: Satu lorong sepanjang 100 meter ke arah utara di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, ditutup berikutan kejadian tanah runtuh yang berlaku di jalan berkenaan, lewat tengah malam tadi.

Pengerusi Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak Abdul Yunus Jamahri berkata kerja-kerja pembaikan cerun jalan di laluan FT185, Seksyen 31.62, di kawasan itu akan dimulakan pada Isnin ini.

“Arahan kerja telah dikeluarkan kepada Syarikat Pintas Utama Sdn Bhd (PUSB) untuk membuat kerja-kerja pembaikan cerun jalan, menggunakan kaedah ‘Terramesh Wall dan Backfill’.

“Kontraktor akan mulakan kerja dengan segera selepas insuran kerja diperolehi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menasihatkan agar pengguna yang melalui jalan itu untuk berwaspada berikutan jumlah kenderaan akan bertambah pada hujung minggu untuk ke naik ke Cameron Highlands.

“Kita akan memastikan pihak yang berkaitan mengambil tindakan segera bagi membendung kejadian buruk berlaku,”katanya.

Dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu telah mengakibatkan tanah runtuh sedalam 20 meter di jalan berkenan. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image