KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

RUU tersebut dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Lim berkata ia akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada sesi persidangan kali ini.

Menurut dokumen yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 bagi memohon perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun ini sebanyak RM648,537,400.

Permohonan peruntukan tersebut adalah berikutan beberapa kementerian telah disusun semula dan dinamakan semula dan beberapa kementerian baharu telah ditubuhkan dengan fungsi-fungsinya dipindahkan daripada kementerian lain selaras dengan pembentukan Kabinet baharu pada 12 Dis 2023.

Perbelanjaan tambahan itu dimohon untuk Jabatan Perdana Menteri iaitu sebanyak RM64,912,200, Jabatan Perkhidmatan Awam (RM21,673,000) dan Kementerian Perpaduan Negara (RM1,433,200).

Peruntukan itu juga adalah bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (RM783,700), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (RM340,087,300), Kementerian Komunikasi (RM37,382,400) dan Kementerian Digital (RM182,265,600). - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image