KUALA LUMPUR: Sabah merekodkan kes tertinggi jangkitan tuberkulosis atau tibi bagi 2023 dengan 5,814 kes diikuti Selangor 5,631 kes dan Sarawak 3,177 kes, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata sebanyak 22,680 kes iaitu 84.7 peratus merupakan jangkitan dalam kalangan warganegara, manakala 4,101 kes iaitu 15.3 peratus dalam kalangan bukan warganegara.

Beliau berkata kementerian ketika ini sedang melaksanakan perolehan sebuah unit mesin Ultra Portable X-ray bagi membantu mengesan penyakit tibi di lapangan atau di luar fasiliti kesihatan terutamanya di kawasan pedalaman atau yang mempunyai masalah logistik untuk ke fasiliti kesihatan.

“Selain itu, bermula 2014, Kementerian Kesihatan (KKM) juga sudah meningkatkan secara berfasa kapasiti diagnosis penyakit Jangkitan TB Laten (LTBI) dan drug resistance tuberculosis dengan teknologi terkini yang lebih tepat dan cepat.

“Sehingga 2023, sebanyak 62 unit ujian pantas molekular telah ditempatkan di seluruh negara bagi pengesanan awal penyakit tibi dan drug resistant tuberculosis,” katanya pada sesi soal jawab lisan.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Dr A. Lingeshwaran berhubung jangkitan tibi yang mendadak mengikut pecahan negeri, umur, warganegara dan bukan warganegara serta pecahan drug resistant tuberculosis untuk 10 tahun lepas dan langkah-langkah mengatasinya.

Dalam pada itu, Lukanisman berkata KKM turut mengambil beberapa langkah bagi mengatasi penularan tibi antaranya melaksanakan saringan dan ujian tibi atau pengesahan tibi bagi pesakit yang hadir ke fasiliti kesihatan yang bergejala, demam berpanjangan, kurang selera makan, turun berat badan secara mendadak, berpeluh waktu malam dan batuk berdarah.

“Selain itu, kita juga melaksanakan saringan kontak bagi individu yang tinggal bersama pesakit dan mempunyai risiko tinggi mendapat tibi dalam kalangan ahli keluarga, rakan sekerja, asrama, kolej, taska dan tadika.

“Melaksanakan saringan bagi golongan berisiko seperti pesakit HIV, kegagalan buah pinggang yang perlukan dialisis, pesakit diabetis, warga emas, perokok termasuk institusi tahanan penjara dan berkaitan,” katanya.